Sesungguhnya
setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama
40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang
sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian
dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan
dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya,
amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan
melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan
amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari
sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan
amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang
dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak
antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh
ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia
memasuki syurga.
[Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]
Kefahaman Hadis
1) Peringkat Pertumbuhan Janin Dalam
Rahim
Ayat-ayat yang berkaitan dengannya
"Wahai
umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan
makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan
kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah,
kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari
seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan;
(Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu
(kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang
mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan
lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu
dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di
antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang
dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi
akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi);
Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan
menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh),
dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman
yang indah permai."
(Al-Haj : 5)
"Dan
sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari
tanah; Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang
kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu
Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan
daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu
dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk
yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah
sebaik-baik Pencipta."
(Al- Mu’minun :12-14)
Hikmat di sebalik kejadian berperingkat-peringkat :
Sebagai pengajaran kepada manusia untuk mencapai tahap
kesempurnaan ma’nawi mestilah melalui cara ((tadarruj)) beransur-ansur tidak
gopoh atau gelojoh.
2) Ditiup Ruh
Sepakat ulama’ menyatakan bahawa ruh ditiup pada janin selepas
120 hari disenyawakan.Hikmat bagi perempuan yang kematian suami, baginya iddah
selama empat bulan sepuluh hari bagi menjamin kesucian rahimnya (tak
mengandung).
3) Menggugurkan Janin
Sepakat ulama’ menyatakan haram (setelah ditiupkan ruh) - dikira
sebagai jenayah dan wajib membayar diat (denda) bila digugurkan, sekalipun mati
selepas itu. Gugurkan sebelum ditiupkan ruh - juga haram pada kebanyakan
pendapat. Ada yang kata boleh tapi pendapat yang dhaif.
4) Keluasan Ilmu Allah Maha
Mengetahui keadaan-keadaan makhluk sebelum dijadikan samada iman dan taat atau
kufur dan maksiat, bahagia atau derita semua dalam pengetahuannya.
Ilmu Allah tidak menghalang manusia dari berikhtiar (Al- Syams: 7-10).
"Demi
diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang
sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang
membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; -sesungguhnya
berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah
bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang
menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya
(dengan sebab kekotoran maksiat)."
=============
Pengajaran Hadis
=============
Kejadian manusia yang unik menunjukkan kekuasaan Allah SWT
mencipta makhlukNya, seterusnya menjadi dalil bahawa hanya Dialah Tuhan yang
berhak disembah. Kejadian manusia mesti menjadi renungan manusia yang berakal,
kerana kejadiannya yang teramat indah dan unik ini tiada tolok bandingnya -
manusia tidak mampu mencipta manusia atau robot bernyawa dan berakal fikiran.
Proses kejadian manusia yang berperingkat-peringkat ini telah
diceritakan oleh lslam melalui al-Qur'an dan hadis Nabi semenjak 14 kurun
lampau, tetapi manusia baru benar-benar arif tentang proses ini di zaman
kemajuan sains. lni adalah bukti yang jelas bahawa Allah SWT yang mencipta
makhluk ini, Dia jugalah yang Maha mengetahui rahsia kejadian mereka.
Empat ketentuan hidup manusia telah ditetapkan oleh Allah SWT
semenjak dia belum lahir ke bumi - rezekinya, ajal kematiannya, amalannya dan
nasibnya sama ada dia akan menjadi seorang yang susah atau senang. Amalan
terakhir manusia adalah faktor penentu kepada nasibnya yang kekal abadi di
akhirat. Bolehjadi dia sangat baik si sepanjang hayat - tetapi di saat terakhir
dia melakukan perbuatan ahli neraka, iaitu maksiat lalu dia mati dan mendapat
balasan neraka. Begitulah sebaliknya.
No comments:
Post a Comment
OK